Skip to main content

TEORI GAGNE SEMBILAN PERISTIWA PEMBELAJARAN (Gagne Nine Events of Instruction)


                             

 

Teori Gagne Nine Events of Instruction atau dalam Bahasa Malaysia bermaksud Teori Gagne Sembilan Peristiwa Pembelajaran yang telah diperkenalkan oleh  Robert  M.  Gagne dapat membantu para guru di sekolah untuk memahami proses belajar sehingga  dapat  mempengaruhi  dan melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Sembilan Peristiwa Pembelajaran tersebut termasuklah mendapatkan perhatian, memberitahu pelajar objektif, merangsang ingatan pembelajaran terdahulu, membentangkan kandungan, memberikan ‘bimbingan belajar’, mendapatkan prestasi (amalan), memberi maklum balas, menilai prestasi serta meningkatkan pemahaman dan memindahkan pengetahuan kepada kerja.

Menurut Ismail Zain (2002), tidak semua peristiwa pembelajaran digunakan dalam sesuatu rancangan mengajar dan ia juga tidak semestinya mengikut urutan yang tertentu tetapi bergantung kesesuaiannya. Mendapatkan perhatian murid adalah sangat penting sebelum sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan di dalam kelas. Hal ini berkait rapat dengan set induksi dalam sesuatu pengajaran dan pembelajaran yang berfungsi untuk menarik perhatian murid agar mengekalkan perhatian dan berminat untuk mendengar dan melihat tentang apa yang bakal disampaikan oleh guru. Set induksi merupakan sebahagian permulaan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas yang bertujuan untuk membina aliran fikiran murid serta menarik minat mereka untuk mengekalkan tumpuan serta fokus kepada sesuatu pengajaran dan pembelajaran yang hendak disampaikan oleh guru. Pelbagai kaedah dan teknik yang boleh digunakan bagi melaksanakan sesuatu set induksi di dalam kelas seperti teknik penyoalan,  teknik bercerita, perkongsian isu semasa, teka teki dan banyak lagi. Selain itu, terdapat juga set induksi yang memerlukan Bahan Bantu Mengajar (BBM) seperti paparan gambar dan video melalui Youtube. Masa yang diperuntukkan untuk pelaksanaan set induksi di dalam kelas kebiasaannya tidak melebihi 5 minit. Selepas set induksi, guru akan mengambil masa beberapa minit pula untuk menyatakan objektif pembelajaran yang bakal diajarkan kepada murid. Sebagai tuntutan dalam pelaksanaan pembelajaran Abad ke 21 (PAK21), pernyataan objektif pembelajaran kepada murid adalah sangat digalakkan. Di suatu sudut di dalam kelas seharusnya diletakkan satu sudut untuk Kriteria Kejayaan dan guru dikehendaki untuk mencatat objektif pembelajaran supaya murid maklum dan cakna akan objektif yang perlu dicapai semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas berjalan. Namun pada pendapat saya, pernyataan objektif pembelajaran secara lisan atau melalui paparan slaid seharusnya masih diterima kerana menulis objektif pembelajaran pada Kriteria Kejayaan akan mengambil masa beberapa minit.

            Teori Gagne Sembilan Peristiwa Pembelajaran yang ketiga pula adalah, merangsang ingatan pembelajaran terdahulu. Peringkat ini membolehkan murid membina pengetahuan terdahulu iaitu mengenai tajuk yang berkaitan yang diajarkan pada proses pengajaran dan pembelajaran yang lepas. Sebagai contoh, mata pelajaran matematik yang topiknya sentiasa berkaitan. Maka pada peringkat ini, guru yang mengajar akan dapat mengenalpasti tahap kefahaman murid terhadap tajuk-tajuk sebelumnya yang telah diajarkan. Selain itu, di peringkat ini juga guru boleh mengaitkan isi pelajaran dengan pengetahuan sedia ada murid termasuklah pengalaman murid dan pengetahuan murid berkenaan topik isu semasa yang sedang atau telah berlaku.

Peristiwa Pembelajaran keempat Teori Gagne Sembilan Peristiwa Pembelajaran adalah membentangkan kandungan. Di peringkat ini, guru akan menyampaikan isi pembelajaran yang hendak disampaikan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Pada tahap ini, pelbagai kaedah dan teknik yang boleh diaplikasikan oleh guru sepanjang proses penerangan dan penyampaian isi pembelajaran. Sebagai contohnya adalah melalui kuliah, kaedah syarahan, kaedah bacaan, pelaksanaan aktiviti, pelaksanaan projek, penyampaian melalui multimedia dan banyak lagi.

Peristiwa pembelajaran yang  kelima dalam Teori Gagne Sembilan Peristiwa Pembelajaran pula adalah memberikan ‘bimbingan belajar’. Guru di dalam kelas bukan sahaja sebagai pengajar namun bertindak sebagai pembimbing. Dalam kata lain, di dalam kelas guru juga berperanan dalam membimbing murid-murid sepanjang proses pembelajaran berlangsung. Antara cara yang boleh dijalankan adalah seperti guru memberikan tunjuk ajar kepada murid yang lemah dalam pelajaran dan memberikan aktiviti pengukuhan kepada murid yang telah menguasai. Selain itu, sepanjang proses aktiviti di dalam kelas guru boleh bertindak membimbing dan menjadi fasilitator bagi menjimatkan masa murid dalam penyempurnaan tugasan yang diberikan di samping memberikan maklumat serta fakta tambahan bagi menambahkan tahap kefahaman murid berkenaan topik yang diajar. Kelebihan yang boleh didapati apabila guru menjadi pembimbing di dalam kelas adalah murid akan dapat memahami isi pelajaran dengan lebih mudah, murid dapat meningkatkan keyakinan diri serta murid dapat melibatkan diri dengan lebih aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. 

Mendapatkan prestasi pula merupakan Peristiwa Pembelajaran yang keenam dalam teori yang dipelopori oleh Gagne. Pada tahap ini, murid dituntut untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari. Melalui tahap ini murid mampu untuk menggunakan pengetahuan yang dipelajari dalam aktiviti atau projek secara berkumpulan ataupun individu. Antara aktiviti yang boleh dijalankan semasa Peristiwa pembelajaran ini adalah tugasan projek, tugasan bertulis, tugasan lisan, amali, penilaian-penilaian formatif dan banyak lagi. 

Seterusnya, memberi maklum balas. Komunikasi dua hala adalah penting di dalam kelas bagi memastikan keberkesanan pengajaran guru. Komunikasi dua hala bermaksud guru dan murid sentiasa saling berinteraksi di sepanjang sesi pengajaran. Di samping itu, guru tidak hanya menyampaikan ilmu  tanpa mendapatkan sebarang maklum balas  daripada murid di dalam kelas. Dalam komunikasi dan interaksi yang terjadi di dalam kelas, guru juga akan memberikan maklum balas kepada murid tentang isi pelajaran dan aktiviti yang diajarkan. Melalui maklum balas berkenaan, murid akan dapat melaksanakan tugasan dan latihan dengan betul. Guru di dalam kelas semestinya akan memberikan maklum balas yang terperinci tentang apa yang perlu dilakukan oleh murid. Maka, melalui maklum balas berkenaan, murid menjadi lebih faham tentang hal yang sebetulnya perlu dibuat serta hal yang perlu diperbaiki terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan tugasan dan latihan di dalam kelas. Dengan itu, murid akan dapat menyiapkan atau melaksanakan sesuatu tugasan dengan betul selain dapat memperbaiki kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan dalam proses penyiapan tugasan. Sementara itu, penilaian-penilaian formatif di dalam kelas juga boleh diklasifikasikan sebagai maklum balas guru terhadap murid. 

Sementara itu, menilai prestasi pula adalah keadaan di mana guru menilai tahap pencapaian murid. Bagi melaksanakannya, guru akan menggunakan pelbagai jenis pendekatan dan penilaian contohnya soal jawab di dalam kelas yang boleh dijalankan secara kuiz, soalan lisan, soalan bertulis, ataupun kaedah pembelajaran Pendidikan Abad ke 21 yang selalu digunakan seperti Hot Seat dan lain-lain. Selain itu, guru juga boleh melaksanakan penilaian formatif mahupun sumatif bagi menilai prestasi dan tahap pemahaman murid di dalam kelas.  Dalam waktu yang sama, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) juga merupakan salah satu cara guru menilai prestasi murid di dalam kelas.

Seterusnya, Peristiwa Pembelajaran Gagne yang kesembilan pula adalah meningkatkan pemahaman dan memindahkan pengetahuan kepada kerja. Di tahap ini, murid akan mampu mengaitkan kerja atau tugasan dengan pengalaman peribadi mereka seperti dalam penulisan esei dan projek-projek yang dilaksanakan secara berstruktur seperti eksperimen dalam mata pelajaran sains. Selain daripada itu, murid berkeupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan melalui kefahaman yang diketahui dalam proses pengajaran dan pembelajaran

Comments

Popular posts from this blog

INTERVENSI KAUNSELING UNTUK MEMBANTU PELAJAR YANG LEMAH DALAM AKADEMIK (Counseling Interventions to Help Students Who Are Weak in Academics)

Dalam membantu pelajar lemah dari segi akademik, pelbagai intervensi kaunseling yang boleh dilakukan. Pertama, kaunselor boleh menjalankan kaunseling individu bersama pelajar terbabit bagi mengenalpasti masalah sebenar pelajar dan punca sebenar. Kemungkinannya, masalah berpunca dari rumah, di sekolah ataupun masalah yang berpunca dari pelajar itu sendiri. Maka, setelah punca dikenalpasti, intervensi lain bagi mengatasi punca tadi dapat dirancang untuk dilaksanakan.             Selain itu, kaunselor boleh menjalankan kaunseling kelompok yang berkaitan dengan laluan kerjaya. Dalam sesi kelompok ini, kaunselor melibatkan pelajar yang lemah dengan ahli-ahli kelas yang lain. sesi ini bukan sahaja akan memotivasikan pelajar lemah bahkan juga pelajar-pelajar yang lain. selain itu, ahli-ahli kelas turut dapat mengenalpasti kelebihan dan kekurangan rakan-rakan mereka di dalam kelas.             Interve...

CIRI SEORANG KAUNSELOR YANG EFEKTIF (Characteristics of an Effective Counsellor)

  Kaunselor memainkan peranan penting dalam kaunseling. Berikut merupakan huraian lima ciri seorang kaunselor yang efektif.             Seorang kaunselor harus mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang kaunseling. Kaunselor yang tidak pakar dalam bidangnya sendiri akan memberikan impak negatif kepada sesi kaunseling dan kliennya. Maka, dalam mendapatkan pengetahuan yang luas, seorang kaunselor seharusnya telah menamatkan pembelajaran formal dalam ijazah yang berkaitan kaunseling daripada mana-mana institusi pendidikan tinggi dalam negara. selain itu, pembelajaran sepanjang hayat perlu diamalkan agar pengetahuan yang dimiliki seiring dengan peredaran zaman.             Selain itu, seorang kaunselor perlu mempunyai kemahiran yang tinggi dalam kaunseling. Pengetahuan sahaja tidak cukup untuk menjadikan seorang kaunselor efektif dalam bidangnya. Ketika pembelajaran...