Seels dan Richey (1994) mengenal pasti lima domain yang menyumbang kepada bidang teknologi pengajaran iaitu, reka bentuk, pengembangan atau pembinaan, penggunaan, pengurusan dan penilaian.
Domain yang pertama adalah reka bentuk. Peringkat ini berkaitan dengan rancangan awal guru sebelum melaksanakan sesuatu pengajaran dan pembelajaran. Antara aspek yang diambil kira dalam memastikan bahawa peringkat ini dilaksanakan dengan baik, guru akan menetapkan objektif pembelajaran, faedah dan pendekatan yang akan digunakan, strategi dan aktiviti pembelajaran yang sesuai, bahan pembelajaran yang terlibat serta rujukan yang diperlukan. Selain itu, aspek seperti tahap dan keupayaan murid turut diambil kira. Guru haruslah memastikan kelemahan dan kelebihan murid yang terlibat di dalam kelas dan mengetahui pengetahuan sedia ada mereka. Di samping itu, latar belakang dan tahap sosial juga perlu dikenalpasti. Sebagai contoh, sebelum pelaksanaan aktiviti yang menggunakan teknologi maklumat seperti internet dan komputer, guru perlu cakna terlebih awal kerana terdapat murid yang tidak pernah menyentuh komputer sebelum ini dan langsung tidak mengetahui fungsi-fungsi komputer, selain terdapat juga murid yang tidak tahu menggunakan internet. Maka, peranan guru adalah menyediakan satu pembelajaran yang akan melibatkan semua murid sesuai dengan tahap, keupayaan, kepelbagaian kecerdasan dan kepelbagaian potensi murid. Proses reka bentuk pembelajaran ini akan menjadi lebih efektif dan bersesuaian dengan tahap murid. Dalam sistem pendidikan di Malaysia, domain reka bentuk ini boleh dikaitkan dengan Rancangan Pengajaran Harian guru sebelum menjalankan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Domain pengembangan dan pembinaan pula adalah peringkat di mana guru akan menterjemahkan segala idea dan perancangan awal kepada pembinaan bahan. Dalam konteks pendidikan di Malaysia, guru menterjemahkan perancangan tersebut dengan menghasilkan Bahan Bantu Mengajar yang bersesuaian dengan perancangan dalam Rancangan Mengajar Harian. Contohnya, guru menyediakan slaid pembentangan berkaitan isi pelajaran mata pelajaran Sejarah yang akan diajarkan ataupun guru memuat turun beberapa video ‘nursery rhymes’ daripada Youtube sebagai perkongsian di dalam kelas Bahasa Inggeris.
Domain penggunaan pula berkaitan dengan tindakan atau pelaksanaan pengajaran yang telah dirancang di dalam kelas. Di peringkat ini, guru akan melaksanakan pendekatan dan kaedah yang sesuai, strategi dan aktiviti yang telah dirancang serta bahan pengajaran yang telah disediakan. Di peringkat ini juga, guru akan memastikan bahawa proses pembelajaran di dalam kelas akan menjadi lebih menarik, berkesan dan murid terlibat secara menyeluruh dan aktif di dalam kelas. Antara kaedah pengajaran yang boleh digunakan adalah seperti kaedah didik hibur, kaedah bermain sambil belajar, simulasi dan banyak lagi.
Domain pengurusan merupakan satu proses di mana guru mengurus kelas dengan baik. Aspek yang benar-benar ditekankan di peringkat ini adalah kawalan kelas. Kelas yang tidak terkawal akan menjadikan proses pembelajaran tidak berjaya dan gagal mencapai objektif. Maka, di peringkat ini guru perlu mengurus pengajaran dan pembelajaran dengan baik. Antara contoh aktiviti mengurus kelas yang boleh dicadangkan adalah seperti sistem ganjaran, pujian, hadiah ataupun dendaan jika perlu.
Domain yang terakhir adalah penilaian. Penilaian di dalam kelas dijalankan bagi memastikan bahawa murid mampu mencapai objektif pembelajaran ataupun tidak. Untuk menilai murid di dalam kelas, pentaksiran formatif boleh dilaksanakan. Terdapat pelbagai cara untuk melaksanakan pentaksiran formatif di dalam kelas antaranya adalah seperti soal jawab dan pemberian tugasan. Selain itu, di domain ini juga memerlukan guru untuk menilai sama ada perancangan dan pelaksanaan pengajaran tersebut berjaya ataupun tidak. Maka, guru akan menilai sendiri berdasarkan prestasi murid di dalam kelas. Di ruangan refleksi di dalam Rancangan Pengajaran Harian, guru boleh mencatatkan kelebihan dan kelemahan pengajaran yang telah dilaksanakan. Jika terdapat kelemahan, guru boleh mencadangkan cara penambahbaikan untuk proses reka bentuk pengajaran yang seterusnya.
Comments
Post a Comment