Dua isu utama pendidikan yang membimbangkan para pendidik di negara Jepun dapat dilihat melalui isu peraturan ketat bagi pematuhan disiplin dan tekanan yang dialami disebabkan persaingan sengit yang berlebihan.
Bagi memastikan disiplin pelajar terjamin, peraturan disiplin di Jepun adalah sangat ketat. Di peringkat menengah misalnya, terdapat pengawasan daripada pihak berkenaan bagi memastikan bahawa semua pelajar akan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Antara peraturan yang mesti dipatuhi termasuklah kod etika berpakaian, aktiviti yang dijalankan di luar sekolah dan gaya rambut. Namun, dalam konteks negara Malaysia, perkara sebegini adalah sangat normal kerana kementerian pendidikan turut menggariskan beberapa peraturan yang wajib dipatuhi selagi bergelar seorang murid ataupun pelajar. Peraturan-peraturan ini hendaklah dipatuhi dan terdapat beberapa jenis hukuman yang boleh dilaksanakan mengikut garis panduan yang betul jika peraturan-peraturan yang ditetapkan dilanggar serta tidak dipatuhi. Walaubagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa pelajar Jepun dapat menunjukkan pencapaian dan prestasi cemerlang pada penilaian antarabangsa, hal ini kerana pematuhan kepada disiplin mampu mendisiplinkan pelajar dan pelajar yang berdisiplin akan lebih bermotivasi dalam menuntut ilmu. Jika pelajar mampu mendisiplinkan diri, nescaya pembelajaran di dalam sekolah atau mana-mana institusi pendidikan akan jadi lebih lancar dan efektif. Konsep yang sama juga diamalkan di negara Malaysia. Di dalam kelas, selain menyampaikan isi pembelajaran, guru akan mengawal kelas dan memastikan bahawa murid akan mematuhi peraturan sekolah seperti hormat guru, siapkan kerja sekolah, tidak mengganggu atau membuli rakan di sekolah dan lain-lain. Hal ini kerana, masalah atau perlakuan disruptif akan mengganggu fokus murid lain di dalam kelas dan menganggu guru mengajar. Disebabkan itu, terdapat kaedah yang digunakan oleh guru di Malaysia melalui pelaksanaan peneguhan positif dan peneguhan negatif di dalam kelas sebagai satu kemahiran kawalan kelas. Oleh yang demikian, di samping sering mengingatkan pelajar berkaitan pematuhan disiplin, guru boleh memberikan motivasi dan hadiah kepada murid yang berkelakuan positif di dalam kelas sebagai peneguhan positif. Maka, murid yang berkelakuan baik akan lebih bermotivasi dan murid yang berkelakuan negatif di dalam kelas boleh melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Perkara ini boleh diaplikasikan oleh negara lain juga termasuk negara Jepun.
Isu kedua yang dibangkitkan dan menjadi kebimbangan kepada para pendidik di Jepun adalah, isu tekanan yang dialami oleh para pelajar disebabkan persaingan sengit yang melampau. Kebanyakan kanak-kanak di Jepun memberikan tumpuan penuh kepada tugasan dan kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru mereka. Selain itu, mereka turut menghadiri kelas tambahan di luar waktu persekolahan bagi memastikan mereka dapat menguasai mata pelajaran yang dipelajari dan menjadi lebih mahir serta faham. Anak-anak juga sedar akan pentingnya mendapat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan. Memandangkan anak-anak sudah dididik lebih awal bahawa kecemerlangan dalam bidang akademik adalah penting bagi menjamin hala tuju kehidupan yang lebih baik, maka, mereka terpaksa bekerja keras untuk menempatkan diri di universiti terkemuka. Hal ini boleh menyebabkan pelajar mengalami kepenatan dan stress dan menjadi kebimbangan dalam kalangan pendidik di Jepun
memandangkan negara tersebut mencatatkan trend bunuh diri yang tinggi sejak beberapa tahun dahulu. Oleh itu, pihak kementerian pendidikan seharusnya turut menitikberatkan tentang kesihatan emosi dan mental dalam kalangan anak-anak yang bersekolah. Di Malaysia, terdapat satu ujian saringan yang dinamakan DASS 21 (Depression Anxiety Stress Scale)bagi mengenal pasti tahap kemurungan, stress dan kerisauan dalam kalangan pelajar di sekolah. Selain itu, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia turut membuat transformasi dengan memperkenalkan sistem pentaksiran yang menyeluruh dan tidak hanya berpusatkan peperiksaan. Peluang pendidikan yang ditawarkan juga sangat luas, sesuai dengan tahap keupayaan kognitif, tahap kemahiran dan minat pelajar.
Comments
Post a Comment