Skip to main content

LIMA FASA PENDEKATAN EKSPOSITORI (5 phases of expository approach)



           Lima fasa pendekatan ekspositori adalah, orientasi (orientation), pembentangan atau penyampaian (presentation), amalan struktur (structure practice), amalan berpandu (guided practice) dan amalan bebas (independent practice). Melalui fasa ini, satu garis panduan pengajaran boleh dihasilkan. 

         Fasa pertama adalah orientasi. Dalam fasa ini, guru akan membuat satu rancangan pengajaran dengan menetapkan objektif pembelajaran, strategi, kaedah dan pendekatan yang bakal digunakan serta tugasan dan penilaian yang dijalankan. Dalam perancangan tersebut, guru akan mengenalpasti tahap murid dan pengetahuan sedia ada yang telah dikuasai oleh murid. 

            Di fasa penyampaian atau pembentangan, guru akan menyampaikan isi pelajaran seperti yang telah dirancang. Dalam proses ini pengajaran perlu selaras dengan perancangan yang telah dibuat bagi mencapai objektif pembelajaran yang telah ditetapkan. Dalam fasa ini juga, guru akan menyampaikan maklumat dan ilmu menggunakan pendekatan, kaedah dan strategi yang telah dirancang terlebih awal.

            Di fasa amalan struktur pula, guru akan menyatakan langkah-langkah pembelajaran yang perlu diikuti oleh murid di dalam kelas. Sebagai contoh guru memberikan arahan eksperimen sains dan murid menjalankan setiap langkah yang diarahkan dalam proses tersebut. pada fasa ini, guru berperanan sebagai pembimbing dan akan memberikan maklum balas jika murid tersalah melakukan langkah yang telah diarahkan.

            Di fasa amalan berpandu, murid di dalam bilik darjah akan melaksanakan tugasan yang diberikan sementara guru masih berada dalam kelas sebagai seorang mentor, fasilitator ataupun pembimbing. Ketika fasa ini, murid akan menyelesaikan tugasan atau menyelesaikan permasalahan yang telah diajukan oleh guru di dalam bilik darjah. Sebagai contoh, guru membekalkan kertas tugasan dan murid diminta untuk menyelesaikan tugasan tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan.

            Yang terakhir pula adalah fasa amalan bebas. Di fasa ini, murid menjalankan aktiviti pembelajaran secara ‘independent’ ataupun secara bebas dan guru hanya berperanan sebagai pemerhati di dalam bilik darjah. Sebagai contoh, murid menjalankan semula eksperimen yang telah dijalankan sebelum ini berpandukan ingatan dan kefahaman mereka. Murid yang menjalankan aktiviti dengan baik dan mengikut langkah-langkah eksperimen yang betul boleh dikatakan berjaya.

Comments

Popular posts from this blog

CIRI SEORANG KAUNSELOR YANG EFEKTIF (Characteristics of an Effective Counsellor)

  Kaunselor memainkan peranan penting dalam kaunseling. Berikut merupakan huraian lima ciri seorang kaunselor yang efektif.             Seorang kaunselor harus mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang kaunseling. Kaunselor yang tidak pakar dalam bidangnya sendiri akan memberikan impak negatif kepada sesi kaunseling dan kliennya. Maka, dalam mendapatkan pengetahuan yang luas, seorang kaunselor seharusnya telah menamatkan pembelajaran formal dalam ijazah yang berkaitan kaunseling daripada mana-mana institusi pendidikan tinggi dalam negara. selain itu, pembelajaran sepanjang hayat perlu diamalkan agar pengetahuan yang dimiliki seiring dengan peredaran zaman.             Selain itu, seorang kaunselor perlu mempunyai kemahiran yang tinggi dalam kaunseling. Pengetahuan sahaja tidak cukup untuk menjadikan seorang kaunselor efektif dalam bidangnya. Ketika pembelajaran...

TEORI GAGNE SEMBILAN PERISTIWA PEMBELAJARAN (Gagne Nine Events of Instruction)

                                       Teori Gagne  Nine Events of Instruction  atau dalam Bahasa Malaysia bermaksud Teori Gagne Sembilan Peristiwa Pembelajaran yang telah diperkenalkan oleh  Robert  M.  Gagne dapat membantu para guru di sekolah untuk memahami proses belajar sehingga  dapat  mempengaruhi  dan melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Sembilan Peristiwa Pembelajaran tersebut termasuklah mendapatkan perhatian, memberitahu pelajar objektif, merangsang ingatan pembelajaran terdahulu, membentangkan kandungan, memberikan ‘bimbingan belajar’, mendapatkan prestasi (amalan), memberi maklum balas, menilai prestasi serta meningkatkan pemahaman dan memindahkan pengetahuan kepada kerja. Menurut Ismail Zain (2002), tidak semua peristiwa pembelajaran digunakan dalam sesuatu rancanga...

REVISI TAKSONOMI BLOOM & TAKSONOMI BLOOM (Revised Bloom's Taxonomy & Bloom’s Taxonomy

  Pada tahun 1956, Benjamin Bloom mengetuai sekumpulan ahli psikologi pendidikan untuk mengembangkan klasifikasi tahap tingkah laku intelektual yang penting untuk pembelajaran. Bloom telah mengklasifikasikan aras tingkah laku keintelektualan dalam pembelajaran kepada tiga domain iaitu domain kognitif, domain afektif, dan  domain psikomotor. Domain kognitif bertujuan untuk mengembangkan kemahiran mental dan pemerolehan pengetahuan individu.   Finn, A. S., Kraft, M. A., West, M. R., Leonard, J. A., Bish, C. E., Martin, R. E., Sheridan, M. A., Gabrieli, C. F., & Gabrieli, J. D. (2014),  kemahiran kognitif meramalkan prestasi akademik, jadi sekolah yang meningkatkan prestasi akademik juga dapat meningkatkan kemahiran kognitif. Walaupun sebilangan besar orang menganggap pembelajaran sebagai fungsi intelektual, namun, pembelajaran bukan sekadar fungsi kognitif (intelektual) kerana manusia juga dapat mempelajari sikap, tingkah laku, dan kemahiran fizikal. Domain af...