LIMA SEBAB MENGAPA PERANCANGAN PENDIDIKAN ADALAH KRITIKAL UNTUK KEJAYAAN SISTEM PENDIDIKAN DI NEGARA AFRIKA SELATAN
Terdapat lima sebab mengapa perancangan pendidikan adalah kritikal untuk kejayaan sistem pendidikan di negara Afrika Selatan.
Sebab pertama adalah kerana terdapat kaitan rapat di antara perancangan pendidikan dengan pembangunan negara. Pendidikan adalah penting bagi memastikan kemajuan sesebuah negara. Afrika Selatan dahulunya pernah dikecam atas dasar aparteid, namun kini ianya merupakan sebuah negara maju dan demokratik dengan populasi penduduk kulit putih yang paling ramai di dalam benua Afrika. Negara tersebut menjadi semakin maju setelah pemansuhan dasar aparteidnya yang mendiskriminasikan kaum. Maka, ianya membolehkan bidang pendidikan dapat ditadbir dengan baik sebagai salah satu langkah untuk memberikan kemajuan kepada masyarakat dan negara kerana semakin baik tahap pendidikan masyarakat dalam sesebuah negara, semakin cepat pembangunan yang dikecapi oleh negara tersebut.
Sebab kedua pula adalah, perancangan pendidikan melibatkan proses yang memerlukan kerjasama banyak institusi penting di dalam sesebuah negara. Sistem pendidikan dahulu di negara Afrika Selatan mendiskriminasikan pendidikan kepada kaum kulit hitam. Selain itu, semasa era aparteid, sistem pendidikan ditadbir dan dirangka mengikut kaum dan warna kulit yang mana setiap kaum akan berada di bawah kementerian yang berbeza. Maka, setelah pelantikan Presiden Mandela, sistem pendidikan diangkat semula dengan memberikan peluang pendidikan kepada semua kaum tanpa mengira latar belakang dan warna kulit melalui dasar Kurikulum 2005.
Sebab lain pula kerana, perancangan dan penyampaian pendidikan menggambarkan kedudukan ideologi kekuatan politik dalam sesebuah negara. Setelah penindasan yang begitu lama terhadap kaum kulit hitam dan kecaman antarabangsa, perubahan landskap politik di Afrika Selatan dapat dilihat semakin berubah setelah pembebasan Nelson Mandela dari penjara. Kesannya, dasar aparteid dimansuhkan secara berperingkat dan pilihan raya dijalankan secara menyeluruh tanpa mengira bangsa dan warna kulit. Maka, setelah Nelson Mandela dilantik sebagai Presiden kulit hitam pertama, beliau berjanji akan melaksanakan perubahan terhadap banyak isu yang telah diabaikan semasa era aparteid terutamanya sistem pendidikan.
Selain itu, perancangan pendidikan mencerminkan agenda nasional, seperti matlamat ekonomi dan dasar integrasi sosial. Walaupun kuasa berada di tangan kaum kulit hitam semasa awal pentadbiran Presiden Nelson Mandela, namun didapati bahawa berjuta-juta rakyat masih berada dalam tahap kemiskinan. Oleh itu, tahap kemiskinan yang tinggi mempengaruhi peluang rakyat untuk menikmati peluang pendidikan yang setara dan menyeluruh tanpa diskriminasi. Di bawah pentadbiran Nelson Mandela, integrasi nasional merupakan salah satu aspek yang diperhalusi dan diberikan penekanan bagi mengatasi masalah konflik perkauman yang telah lama dihadapi oleh negara tersebut. Seperti di Malaysia, peluang pendidikan dapat dikecapi oleh semua kaum tanpa ada diskriminasi.
Sebab kelima pula adalah masalah sosioekonomi dan kesihatan yang menjadikan menyukarkan perancangan pendidikan. Setelah tempoh diskriminasi yang lama, masyarakat kaum hitam tertindas untuk mendapatkan peluang pendidikan yang sama rata. Maka, disebabkan tahap pendidikan yang rendah, masyarakat susah dalam mencari kerja dan tahap pengangguran dalam kalangan masyarakat kulit hitam adalah sangat tinggi. Hal ini turut menyebabkan kes jenayah yang tinggi yang lebih sinonim dengan masyarakat kulit hitam. Oleh itu, dalam merancang pendidikan pihak kerajaan perlu memastikan agar tahap pengangguran dan jumlah jenayah dapat dikurangkan. Selain itu, negara Afrika Selatan juga turut menghadapi masalah kesihatan terutamanya berkaitan wabak AIDS. Isu ini sedikit sebanyak mempengaruhi perancangan pendidikan yang dijalankan. Dalam masa yang sama, kerajaan perlu bertindak lebih agresif dalam mendidik masyarakat akan bahaya AIDS dan bagaimana cara menghindarinya. Hal ini kerana, kanak-kanak yang menghidap penyakit AIDS akan tersekat untuk menerima peluang pendidikan yang menyeluruh di samping anak-anak juga merupakan harapan kepada pembangunan sesebuah negara di masa hadapan.
good
ReplyDelete✌️✌️
ReplyDelete