Rajah di atas menunjukkan model yang telah direka oleh Dick dan Carey untuk pembelajaran yang mengandungi sepuluh komponen. Peringkat pertama adalah mengenalpasti matlamat pengajaran. Di peringkat ini guru mengenalpasti matlamat atau objektif dalam pembelajaran yang hendak dicapai. Contohnya, di akhir pembelajaran apakah kemahiran atau maklumat yang akan dicapai oleh murid. Selain itu, bagi mencapai semua objektif, guru memikirkan cara bagaimana hendak mencapai semua objektif yang ditetapkan.
Seterusnya, adalah mengenalpasti pengetahuan sedia ada murid, ciri-ciri dan latar belakang murid sebelum mengendalikan pengajaran supaya pengajaran tersebut bersesuaian untuk dilaksanakan kepada semua murid yang berada di dalam kelas. Pengetahuan sedia ada berkaitan dengan pembelajaran yang lepas ataupun pengalaman yang dialami sendiri oleh murid dalam kehidupan.
Komponen menganalisis pengajaran pula adalah di mana guru menganalisis pengajaran yang dijalankan. Komponen ini berkaitan dengan strategi, kaedah, pendekatan serta aspek lain yang sesuai untuk digunakan bagi memastikan pengajaran berjalan lancar serta murid dapat memahami isi pembelajaran.
Komponen menentukan objektif pencapaian pula adalah fasa di mana guru menetapkan objektif pembelajaran yang akan dicapai semasa proses pembelajaran berlangsung. Dalam penetapan objektif, guru perlu menetapkan objektif yang eksplisit bagi memudahkan guru mengukur kefahaman murid di dalam kelas. Sebagai contoh, memberikan contoh, membanding beza, menulis punca, memberikan perbandingan, dan beberapa kata kunci lain.
Seterusnya adalah komponen membuat item ujian rujukan kriteria. Di komponen ini, guru perlu menyediakan item ujian rujukan kriteria yang bersesuaian dengan objektif pembelajaran.
Membina strategi pengajaran dalam komponen model tersebut pula adalah guru akan membina strategi pembelajaran yang akan dilaksanakan bersesuaian dengan isi pembelajaran dan objektif yang telah ditetapkan. Dalam bidang pedagogi terdapat berbagai strategi dan pendekatan yang boleh dilaksanakan oleh guru di dalam kelas termasuklah penyampaian secara syarahan atau kuliah, penyampaian berbentuk multimedia, didik hibur, pembelajaran berasaskan projek dan banyak lagi.
Di komponen membina dan memilih bahan, guru akan memilih bahan-bahan pembelajaran yang bersesuaian dengan strategi pembelajaran yang telah dirancang. Bahan-bahan tersebut digunakan untuk kelancaran proses pembelajaran di samping menjadi medium pengajaran yang membantu kefahaman murid tentang isi pelajaran yang diajarkan. Antara bahan pengajaran yang boleh digunakan adalah bahan yang berasaskan teknologi maklumat dan bahan maujud seperti diorama, model 3D, manila kad dan lain-lain.
Bagi mengukur kefahaman murid di dalam kelas, komponen penilaian formatif boleh dilaksanakan di dalam kelas. Pelaksanaan formatif di dalam kelas termasuklah soal jawab, tugasan kerja, soalan pelbagai bentuk dan beberapa kaedah penilaian formatif yang lain.
Selain itu, komponen penilaian sumatif turut dijalankan bagi menguji kefahaman murid. Di peringkat sekolah, penilaian sumatif seringkali dijalankan di setiap penghujung semester persekolahan, seperti Ujian bulan Mac, Ujian Pertengahan Tahun dan Ujian Akhir Tahun. Di peringkat kebangsaan pula ujian seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia merupakan antara penilaian sumatif yang dijalankan oleh kementerian.
Akhir sekali adalah komponen mengkaji semula (revise) atau menilai semula arahan. Di komponen ini, guru perlu sentiasa menilai, adakah setiap komponen yang dilaksanakan tersebut akan berhasil ataupun tidak. Di peringkat ini, guru memikirkan kelebihan dan keburukan yang mungkin berlaku ketika komponen-komponen lain dilaksanakan.
Comments
Post a Comment