Lima faedah menggalakkan kemahiran berfikir di sekolah adalah seperti berikut:
1. Mendorong sifat ingin tahu murid.
Rasa ingin tahu wujud untuk membantu murid dalam memperoleh pemahaman yang lebih mendalam bukan sahaja yang berlaku di kawasan sekitar mereka, tetapi yang berlaku di seluruh dunia. Semasa proses pembelajaran di sekolah, murid akan berasa ingin tahu terhadap topik yang diajarkan dan akan berfikir dengan lebih mendalam. Melalui proses tersebut murid akan meneroka dan mencari sebab sesuatu perkara berlaku, mengenalpasti masalah yang berlaku, memikirkan jalan penyelesaian dan menyatakan kebaikan atau keburukan sesuatu perkara.
2. Meningkatkan kreativiti murid.
Adalah menyenangkan bagi seorang guru apabila melihat bahawa murid di sekolah dapat menunjukkan nilai kreativiti yang sangat tinggi di sekolah. nilai kreativiti sebenarnya boleh dipupuk dan dihasilkan dengan gaya pemikiran murid yang berbeza-beza. Nilai dan sifat kreativiti pada masa kini tidak diragukan lagi merupakan satu kemahiran yang diperlukan dalam tenaga kerja moden yang kolaboratif. Maka, dari banku sekolah lagi murid harus dibiasakan dengan budaya berfikir supaya nilai kreativiti mereka akan dapat digilap.
3. Meningkatkan kemampuan menyelesaikan masalah
Murid yang berfikir secara kritis cenderung menjadi penyelesai masalah. Dalam kelas, murid bukan sahaja perlu tahu menyelesaikan sesuatu masalah atau soalan yang berkaitan dengan akademik, namun kemahiran ini mampu digunakan di dalam kehidupan seharian. Kemahiran menyelesaikan masalah sangat berguna kepada murid dalam kehidupan sebenar. Anak-anak masa kini adalah pemimpin masa depan dan akan menghadapi cabaran yang kompleks. Maka, keupayaan berfikir yang baik dan matang akan dapat merancang satu penyelesaian yang lebih baik.
4. Menggalakkan nilai berdikari
Membiarkan murid untuk menggunakan kemahiran berfikir secara bebas adalah salah satu daripada banyak tujuan pendidikan. Di sekolah, murid yang berfikir dengan baik akan lebih mempunyai nilai berdikari yang tinggi. Hal ini kerana, mereka tidak bergantung dengan guru di sekolah dan cuba menggunakan kemahiran berfikir dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Di dalam kelas, murid sebegini akan mampu membimbing rakan-rakan lain dalam akademik dan bidang-bidang lain di sekolah.
5. Kemahiran berfikir dapat meningkatkan kemahiran bahasa dan kemahiran membentang.
Berfikir dengan jelas dan sistematik dapat meningkatkan cara murid untuk mengungkapkan idea mereka. Dalam proses pembelajaran, kemahiran berfikir mampu menjadikan murid mampu menganalisis struktur logik teks, pemikiran kritis juga meningkatkan kemampuan pemahaman. Hal ini membantu mereka dalam penguasaan bahasa seperti mana yang terkandung dalam 6 Aspirasi Murid dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Murid yang menguasai bahasa akan mempunyai tahap keyakinan tinggi dalam membentangkan idea mereka.
Comments
Post a Comment