Skip to main content

INTEGRASI KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DALAM BILIK DARJAH DI NEGARA MALAYSIA DAN FINLAND. APAKAH PERSAMAANNYA?



 

            Pendidikan merupakan teras kepada suatu kehidupan yang sejahtera dan lebih dinamik. Pendidikan mampu menentukan corak serta mutu kehidupan manusia, memainkan peranan  utama dalam pertumbuhan ekonomi yang pesat dan penting untuk pembangunan sesebuah negara. Sistem pendidikan di Malaysia telah melalui satu proses dan perjalanan yang panjang bermula dari era sebelum merdeka, selepas merdeka serta pendidikan masa kini. Pada peringkat pendidikan masa kini, satu dasar telah diperkenalkan oleh kerajaan bagi memperkasakan pendidikan di Malaysia. Di tahun 2011, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melancarkan kajian semula sistem pendidikan negara secara holistik dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang baharu. Maka 11 anjakan strategik telah diperkenalkan dan perlu dilaksanakan bagi mencapai visi yang dihasratkan. Kemahiran Berfikir Aras Tinggi menjadi salah satu elemen penting dalam pelaksanaan PPPM bagi memastikan murid dapat menguasai kemahiran berfikir secara lebih kritis untuk mendepani Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21). Namun, di tahun 2017, heboh diperkatakan di media cetak dan media massa bahawa pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di sekolah adalah gagal. Masing-masing menuding jari mengatakan bahawa kegagalan tersebut adalah berpunca daripada guru. Tidak kurang juga yang menyalahkan kementerian dan ahli politik. “Bukanlah sesuatu yang mudah bagi membiasakan barisan guru yang komited dan anak-anak pelajar yang sudah terlalu terbiasa dengan cara pembelajaran lama. Anjakan yang digesa pihak kementerian adalah terlalu mendadak, dan masih membelenggu tenaga pengajar sehingga hari ini, “ (Nurul Izzah Anwar, 2017). Menteri Pendidikan pada ketika itu, Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid yang kenyataannya dipetik melalui Awani dan MyMetro turut berpendapat bahawa, kegagalan KBAT bukanlah berpunca dari guru dan tidak wajar jika dikatakan KBAT itu gagal kerana setiap perkara atau dasar yang diperkenalkan akan melalui satu proses dari bawah sebelum kejayaannya dicapai. Maka, menjadi persoalan adakah KBAT dalam pendidikan Malaysia sudah gagal? Ataupun ianya sedang melalui satu proses. Bagaimanakah pula pelaksanaan KBAT di negara maju lain seperti negara Finland yang dikatakan mempunyai sistem pendidikan yang terbaik di dunia? Tugasan ini akan mengupas sedikit sebanyak berkaitan isu KBAT di negara Malaysia dan negara Finland.

            Pada tahun 2011, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melancarkan kajian semula sistem pendidikan negara secara menyeluruh dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang baharu. Dalam PPPM 2013-2025, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) diberi penekanan yang tinggi bagi melahirkan murid yang berdaya saing menjelang abad ke-21. Merujuk kepada PPPM 2013-2025 terdapat 6 aspirasi murid yang telah diperkenalkan bagi membolehkan murid dan pelajar Malaysia dapat bersaing di peringkat global. Kemahiran berfikir merupakan salah satu daripada enam aspirasi tersebut yang memfokuskan kepada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi. KBAT ini merupakan satu kesinambungan kepada Kemahiran Berfikir secara Kreatif dan Kritis (KBKK) yang diperkenalkan pada tahun 1993.

            Sejak sekian lama, sistem pendidikan di Finland sering kali  dijadikan rujukan masyarakat dunia bermula pendidikan prasekolah, sekolah rendah dan juga peringkat yang lebih tinggi. Finland kini dinobatkan sebagai salah sebuah negara yang memiliki sistem pendidikan yang terbaik di seluruh dunia, setelah negara berkenaan melaksanakan reformasi pendidikan bermula 40 tahun yang lepas. Statistik UNESCO memperlihatkan kedudukan Finland di tangga paling dan terbaik dalam bidang pendidikan yang disaingi oleh Korea Selatan, Hong Kong, Jepun dan jiran terdekat kita, Singapura. United Kingdom pula menduduki tangga keenam, manakala Amerika Syarikat berada di tempat yang ke-29. Yang paling menarik dan menghairankan, Finland hanya mengamalkan sistem persekolahan antara tiga hingga empat jam dengan maksimum masa seminggu adalah 20 jam. Namun, negara ini terkenal sebagai sebuah negara yang mampu melahirkan murid cerdik dan pandai.

            Terdapat beberapa persamaan yang dilaksanakan oleh Malaysia dan Finland dalam memperkasakan integrasi KBAT dalam pendidikan negara masing-masing. Hal ini termasuklah peranan kerajaantugas dan peranan guru serta aspek murid di dalam bilik darjah.

 


PERANAN KERAJAAN

Peranan kerajaan sesebuah negara adalah sangat penting dalam memperkasa sistem pendidikan. Kedua-dua kerajaan Malaysia dan Finland dilihat telah melaksanakan pelbagai usaha dan memperkenalkan dasar bagi mengangkat martabat bidang pendidikan di negara masing-masing.

            Dalam memastikan kejayaan pelaksanaan KBAT dalam sistem pendidikan Malaysia, pihak kerajaan telah memperkenalkan dasar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang menyeluruh meliputi pelbagai aspek. Bagi membudayakan  KBAT dalam kalangan murid di sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan tiga elemen utama dan empat elemen sokongan. Tiga elemen utama tersebut adalah kurikulum, pedagogi dan pentaksiran. Manakala empat elemen sokongan pula termasuklah kokurikulum, sokongan komuniti dan swasta, bina upaya serta sumber. Elemen-elemen tersebut telah diterapkan dalam kurikulum sekolah untuk membudayakan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan guru dan murid. Selain itu, KPM telah mengusahakan kaedah untuk meningkatkan KBAT di Malaysia. Salah satu projek utama yang dilaksanakan dan telah digunakan untuk membantu mengembangkan kemahiran berfikir di semua sekolah di Malaysia adalah i-THINK. Dalam usaha tersebut,  kerajaan Malaysia dan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) bersama-sama telah memperkenalkan projek i-THINK untuk mempersiapkan generasi Malaysia supaya mampu berfikir secara kritis dan dapat menyesuaikan diri sebagai persiapan masa depan.

            Di Finland pula, Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan merupakan  salah satu daripada dua belas kementerian yang terdapat di Finland. Kementerian ini menyediakan undang-undang dan memantau pentadbiran bagi hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan seperti pusat asuhan  kanak-kanak, sekolah dan universiti selain bertanggungjawab dalam hal-hal yang berkaitan sukan dan sains. Di samping itu, bidang kebudayaan seperti hal-hal yang berkaitan perpustakaan dan juga seni turut berada dalam bidang kuasa pentadbiran kementerian ini.  

 

FUNGSI DAN PERANAN GURU

Sukiman, Noor Shah & Mohd Uzir (2012) melalui kajian mereka menunjukkan bahawa guru-guru mempunyai persepsi yang positif terhadap pengajaran berfikir dan mengamalkan pengajaran kemahiran berfikir di bilik darjah. Malahan, tidak terdapat perbezaan persepsi antara guru perempuan dan lelaki serta guru berpengalaman dan baharu. Di samping itu, wujud hubungan antara persepsi guru terhadap pengajaran berfikir dan amalan pengajaran berfikir. Norlela, et.al.(2015) pula mendapati dalam kajiannya bahawa guru-guru pelatih mempunyai tahap aplikasi soalan KBAT yang tinggi. Oleh itu, guru-guru dapat mengaplikasikan konsep KBAT dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dengan betul serta efektif. Usaha sebegini seharusnya dipupuk dan disokong oleh pelbagai pihak di peringkat pendidikan agar para guru dapat merealisasikan transformasi negara untuk melahirkan generasi yang berfikiran aras tinggi.

            Dalam konteks negara Malaysia, guru didapati mengintegrasikan elemen KBAT di dalam pengajaran mereka kerana, setiap guru di Malaysia merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dalam amalan pengajaran mereka. Di dalam DSKP terdapatnya panduan dan Standard Prestasi yang digunakan untuk mengukur tahap pemahaman kognitif murid di bilik darjah terhadap sesuatu topik yang diajarkan. Tahap Penguasaan tersebut merujuk kepada tahap kognitif dalam model Taksonomi Bloom yang mana KBAT boleh dicapai di peringkat ketiga hingga keenam. Peringkat kognitif tersebut adalah aplikasi, analisis,  sintesis dan penilaian. Selain itu, bagi menyokong usaha pengintegrasian KBAT di dalam pengajaran, para guru dituntut untuk sentiasa memantapkan kemahiran pedagogi seperti teknik penyoalan aras tinggi dalam  pengajaran dan penggunaan alat berfikir seperti i-Think.

            Dalam konteks negara Finland, guru menikmati autonomi luas dan mempunyai fleksibiliti untuk mengatur pengajaran mereka sendiri. Penyelidikan menunjukkan bahawa rata-rata guru Finland menghabiskan tujuh hari dalam setahun untuk perkembangan profesional. Hal ini bagi meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan mereka. Perkembangan profesional dilihat sangat penting bagi memastikan guru mampu memberikan ilmu pengetahuan yang mendalam bagi melahirkan murid yang pintar dan berfikiran kritis.

            

MURID DI DALAM BILIK DARJAH

Setiap bilik darjah pastinya akan terdapat pelbagai murid yang dengan tahap kecerdasan yang pelbagai. Di dalam teori Kecerdasan pelbagai, Gardner (1991) menyatakan bahawa setiap manusia mewarisi lapan jenis kecerdasan yang berbeza. Lapan kecerdasan tersebut termasuklah intrapersonal, interpersonal, naturalis, verbal-linguistik, logikal matematik, visual-ruang, muzik, dan kinestetik. Menurut Mok Soon Sang (2010), di peringkat sekolah, tumpuan hanya diberikan untuk menguji kecerdasan  kognitif. Penilaian bukan kognitif jarang dilakukan.

            Dalam bidang pendidikan di Malaysia, integrasi KBAT melibatkan keseluruhan murid yang berada di dalam bilik darjah. Bagi pengukuran tahap kognitif murid pula, DSKP menjadi panduan dan rujukan guru. Selain itu, semua tahap KBAT yang harus dicapai murid terdapat dalam DSKP.  Di dalam kelas, murid akan diuji dengan soalan KBAT sama ada melalui penilaian formatif ataupun sumatif dan keputusan tersebut juga merupakan salah satu tuntutan dalam Pentaksiran Bilik Darjah. Bagi murid yang boleh mencapai tahap KBAT seperti tahap aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian, murid akan diletakkan di Tahap Penguasaan (TP) 3, 4, 5 ataupun 6. Selain itu, kandungan dalam peperiksaan juga mengandungi soalan-soalan KBAT bagi menguji kefahaman murid terhadap tajuk ataupun topik yang telah diajarkan.

            Di Finland pula, murid yang ketinggalan akan diberikan perhatian yang lebih berbanding fokus kepada murid yang pintar dan berbakat. Hal ini supaya murid-murid yang lemah tersebut akan dapat diangkat ke tahap penguasaan umum. Selain itu, murid telah dilatih untuk membiasakan diri untuk berani bertanyakan soalan di dalam kelas. Hal ini menggalakkan murid untuk berani menanyakan soalan jika tidak faham akan isi pelajaran yang disampaikan di kelas serta bertanyakan soalan yang di luar kotak. Di Malaysia pula, murid yang lemah akan terlibat dengan program Literacy and Numeracy Screening (LINUS) sementara murid yang melepasi tahap LINUS akan dimasukkan ke dalam kelas perdana. Program LINUS kini telah digantikan dengan Program Literasi dan Numerasi (PLaN). Pemfokusan ini penting bagi memastikan murid lemah diberikan perhatian supaya kemahiran berfikir mereka akan dapat ditingkatkan dan mampu mengikuti pembelajaran seperti murid-murid lain.

            Selain itu, kebanyakan guru di Finland dilihat selesa dalam memberikan kebebasan kepada murid, seperti memberikan tugasan  projek terbuka (Open-ended Project). Amalan ini bukan sahaja mendorong kreativiti, malah mendorong murid untuk mengembangkan kemahiran KBAT dengan lebih berkesan. Dalam sistem pendidikan Malaysia pula,  murid menjalankan Pembelajaran Berasaskan Projek ataupun Project Based Learning (PBL). Semua projek yang diberikan bertujuan memberikan peluang kepada murid untuk menyelidik, mengkaji, menganalisis dan mengaplikasikan perkara yang dipelajari melalui tugasan projek. Selain itu, murid dapat meningkatkan kemahiran KBAT dan mampu membuat eksplorasi berkenaan tugasan yang diberikan oleh guru. Dalam bidang kokurikulum pula, setiap murid di Malaysia terlibat dalam projek 1 Murid 1 Projek (1M1P) bagi meningkatkan kemahiran KBAT, membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan menyediakan panduan.

            Secara keseluruhannya, negara Malaysia dan Finland dilihat sangat komited dalam memperkasakan sistem pendidikan mengikut acuan masing-masing. Melihat kepada kejayaan sistem pendidikan di Finland, pengajaran utama kepada Malaysia bukanlah untuk meniru keseluruhan sistem pendidikan mereka. Hal ini kerana Malaysia memiliki sosiobudaya yang berbeza dan jenis pendidikan yang berbeza seperti Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Tahfiz, Sekolah Agama Negeri dan lain-lain. Selain itu, tahap kemajuan di setiap negeri di dalam Malaysia juga perlu diambilkira dalam melaksanakan dasar KBAT secara menyeluruh. Maka, integrasi KBAT di Malaysia sebenarnya bukanlah gagal kerana ianya tidak diukur dalam suatu masa yang singkat dan setiap kejayaan akan melalui proses dan perjalanan. 

 

 

 

 

REFERENCES/ RUJUKAN

Aizuddin Mohamed Anuar, (2018). Finland Cerminan Ekuiti Pendidikan Negara. Majalah Pendidik          bil 129, 15.


Gardner. H (1999).  Intelligence Reframed, Basic Books, New York 


Johanna Järvinen-Taubert (2017 April 13). Finland’s Core Curriculum: Skills or Knowledge? Or Both?. Dimuat turun daripada https://learningscoop.fi/finlands-core-curriculum-skills-or-knowledge-or-both/


King. (1997). State wide assessment of listening and verbal communication skills, information literacy skills, and problem-solving skills. Tallahassee: Florida State University. 


Lewis, A., & Smith, D. (1993). Defining higher order thinking. Theory into Practice, 32(3),131-137. https://doi.org/10.1080/00405849309543588


Mok Soon Sang. (2010).  Perkembangan Kanak-kanak), Selangor: Penerbitan Multimedia  Sdn. Bhd. 


Noriati Abd Rashid et al. (2011).  Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Shah Alam, Selangor : Oxford Fajar  


Norafizah, (2016). Project Based Learning penuhi pendidikan abad 21. Majalah Pendidik bil 104, 18.


Norlela Ali, Firdaus Abdul Fatah, Vijayaletcmy Muniyandy & Zaradi Sudin. (2015).Aplikasi Soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi(KBAT) dalam kalangan guru pelatih. Jurnal SPPK2015/040



Sukiman Saad, Noor Shah Saad & Mohd Uzi Dollah. (2012). Pengajaran Kemahiran Berfikir Aras Tinggi: Persepsi dan Amalan Guru Matematik Semasa Pengajaran dan Pembelajaran di Bilik Darjah. Jurnal Pendidikan Sains & Matematik Malaysia,2(1), 18-36.

 

 

Comments

Popular posts from this blog

CIRI SEORANG KAUNSELOR YANG EFEKTIF (Characteristics of an Effective Counsellor)

  Kaunselor memainkan peranan penting dalam kaunseling. Berikut merupakan huraian lima ciri seorang kaunselor yang efektif.             Seorang kaunselor harus mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang kaunseling. Kaunselor yang tidak pakar dalam bidangnya sendiri akan memberikan impak negatif kepada sesi kaunseling dan kliennya. Maka, dalam mendapatkan pengetahuan yang luas, seorang kaunselor seharusnya telah menamatkan pembelajaran formal dalam ijazah yang berkaitan kaunseling daripada mana-mana institusi pendidikan tinggi dalam negara. selain itu, pembelajaran sepanjang hayat perlu diamalkan agar pengetahuan yang dimiliki seiring dengan peredaran zaman.             Selain itu, seorang kaunselor perlu mempunyai kemahiran yang tinggi dalam kaunseling. Pengetahuan sahaja tidak cukup untuk menjadikan seorang kaunselor efektif dalam bidangnya. Ketika pembelajaran...

TEORI GAGNE SEMBILAN PERISTIWA PEMBELAJARAN (Gagne Nine Events of Instruction)

                                       Teori Gagne  Nine Events of Instruction  atau dalam Bahasa Malaysia bermaksud Teori Gagne Sembilan Peristiwa Pembelajaran yang telah diperkenalkan oleh  Robert  M.  Gagne dapat membantu para guru di sekolah untuk memahami proses belajar sehingga  dapat  mempengaruhi  dan melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Sembilan Peristiwa Pembelajaran tersebut termasuklah mendapatkan perhatian, memberitahu pelajar objektif, merangsang ingatan pembelajaran terdahulu, membentangkan kandungan, memberikan ‘bimbingan belajar’, mendapatkan prestasi (amalan), memberi maklum balas, menilai prestasi serta meningkatkan pemahaman dan memindahkan pengetahuan kepada kerja. Menurut Ismail Zain (2002), tidak semua peristiwa pembelajaran digunakan dalam sesuatu rancanga...

INTERVENSI KAUNSELING UNTUK MEMBANTU PELAJAR YANG LEMAH DALAM AKADEMIK (Counseling Interventions to Help Students Who Are Weak in Academics)

Dalam membantu pelajar lemah dari segi akademik, pelbagai intervensi kaunseling yang boleh dilakukan. Pertama, kaunselor boleh menjalankan kaunseling individu bersama pelajar terbabit bagi mengenalpasti masalah sebenar pelajar dan punca sebenar. Kemungkinannya, masalah berpunca dari rumah, di sekolah ataupun masalah yang berpunca dari pelajar itu sendiri. Maka, setelah punca dikenalpasti, intervensi lain bagi mengatasi punca tadi dapat dirancang untuk dilaksanakan.             Selain itu, kaunselor boleh menjalankan kaunseling kelompok yang berkaitan dengan laluan kerjaya. Dalam sesi kelompok ini, kaunselor melibatkan pelajar yang lemah dengan ahli-ahli kelas yang lain. sesi ini bukan sahaja akan memotivasikan pelajar lemah bahkan juga pelajar-pelajar yang lain. selain itu, ahli-ahli kelas turut dapat mengenalpasti kelebihan dan kekurangan rakan-rakan mereka di dalam kelas.             Interve...