Skip to main content

PERANAN KAUNSELOR SEKOLAH DALAM MEWUJUDKAN PERSEKITARAN KONDUSIF UNTUK PELAJAR (The Role of School Counselor in Creating a Conducive Environment for Students)




Kaunselor sekolah dapat membantu mewujudkan persekitaran kondusif untuk pelajar belajar terutamanya dalam aspek emosi dan mental. Jika pelajar berasa ceria dari segi emosi dan mental, maka secara langsungnya ia akan memotivasikan pelajar untuk minat dalam belajar dan persekitaran kondusif turut diwujudkan.

            Kaunselor banyak menangani masalah buli di sekolah. Pelajar yang sering dibuli di dalam kelas akan merasakan bahawa persekitaran di dalam kelas adalah tidak kondusif baginya. Maka, sebagai intervensi kaunselor boleh menjalankan kaunseling individu kepada yang membuli dan yang dibuli. Selain itu, kaunseling berkelompok juga boleh dijalankan yang melibatkan keseluruhan murid di dalam kelas. Dalam sesi kaunseling kelompok ini, kaunselor boleh menjalankan intervensi yang dapat menyedarkan bahawa semangat setia kawan dan menghargai satu sama lain adalah penting dalam kehidupan.

            Intervensi seperti program mentor dan Mentee dalam kalangan pelajar mampu mewujudkan suasana positif dan kondusif di dalam kelas terutamanya bagi pelajar yang lemah dalam pembelajaran. Pelajar yang cerdik boleh membimbing rakan yang lemah di dalam kelas dan di luar kelas.

            Di samping itu, kaunselor boleh mengadakan beberapa sesi dengan guru di sekolah yang menunjukkan ciri-ciri stress ataupun tekanan. Guru yang tertekan dan stress akan cenderung untuk menjadi marah di dalam kelas semasa mengajar. Tindakan itu akan menjadikan sesi pembelajaran tidak kondusif kepada pelajar. Maka sesi kaunseling bersama guru terlibat akan menunjukkan perubahan yang baik.

            Selain itu, dalam proses pengajaran dan pembelajaran terdapat juga pelajar yang bermasalah dan tidak mendengar kata guru di dalam kelas. Situasi ini akan mengakibatkan suasana yang tidak kondusif kepada guru dan murid lain. Maka, bimbingan dan kaunseling perlu dijalankan kepada pelajar yang terbabit.

            Dalam mengatasi masalah pelajar yang tidak menghormati guru, intervensi yang disarankan oleh kementerian seperti program guru penyayang boleh dilaksanakan di dalam sekolah. Jika ianya berjaya dilaksanakan, hubungan guru dan pelajar akan menjadi lebih rapat dan mesra. Maka, pelajar akan lebih menghormati guru tidak kira di dalam kelas ataupun di luar kelas. Suasana kondusif belajar di dalam kelas turut terhasil jika pelajar mendengar kata dan arahan guru di dalam kelas dengan baik.

            Selain itu, unit bimbingan dan kaunseling sekolah boleh menjalankan aktiviti pertandingan kelas tercantik dengan kerjasama guru kelas dan guru-guru yang lain. kelas yang bersih, cantik dan menarik dapat mewujudkan satu suasana yang kondusif untuk belajar.

Comments