Skip to main content

PERBEZAAN DI ANTARA PENDEKATAN EKSPOSITORI DAN PENDEKATAN INKUIRI (Differences between Expository and Inquiry Approach)


 

Terdapat beberapa perbezaan di antara pendekatan ekspositori dan pendekatan inkuiri antaranya adalah dari segi pendekatan yang digunakan, strategi pembelajaran yang digunakan, peranan murid di dalam bilik darjah serta potensi dan kebolehan murid belajar.

             Dari aspek pendekatan yang digunakan di dalam bilik darjah, pendekatan ekspositori merupakan satu pendekatan yang lebih berpusatkan kepada guru dan murid di dalam bilik darjah tidak terlibat secara aktif di dalam kelas. Manakala, pendekatan inkuiri merupakan pendekatan yang lebih berpusatkan kepada murid.

            Selain itu, dari segi strategi yang digunakan di dalam bilik darjah pula, pendekatan ekspositori lebih kepada aktiviti penyampaian dan syarahan guru di dalam kelas. Antara strategi yang terlibat termasuklah, guru menyampaikan ilmu di dalam kelas seperti kaedah ‘chalk and talk’, guru menyampaikan isi pelajaran menggunakan slaid serta bersoal jawab bila perlu. Manakala, bagi pendekatan inkuiri murid akan menjalankan aktiviti di dalam bilik darjah secara aktif. Antara aktiviti yang boleh dijalankan adalah aktiviti yang berunsurkan ‘hands on’, eksperimen bagi mata pelajaran sains dan aktiviti pembelajaran yang berasaskan projek.

            Melalui aspek peranan murid di dalam bilik darjah, pendekatan ekspositori tidak melibatkan murid secara aktif yang mana murid hanya akan mendengar guru menyampaikan isi pembelajaran dan maklumat berkaitan topik pembelajaran. Dalam proses ini, murid hanya mendengar dan memberikan maklum balas jika perlu seperti jika ditanya oleh guru ataupun diberikan peluang untuk memberikan pendapat. Manakala, bagi pendekatan inkuiri pula, murid berperanan untuk mencari tahu dan meneroka ilmu dan isi pembelajaran secara aktif di dalam bilik darjah sementara guru hanya sebagai pembimbing dalam proses tersebut.

            Yang terakhir adalah aspek potensi dan kebolehan murid. Dalam pendekatan ekspositori, potensi dan kebolehan murid tidak akan dapat diperkembangkan secara menyeluruh kerana murid tidak terlibat secara aktif dan menyeluruh di dalam kelas. Bagi murid yang lemah, malu dan mempunyai nilai keyakinan diri yang rendah, mereka pasti akan bertambah pasif sepanjang pembelajaran kerana malu dan kurang yakin pada diri. Berbeza dengan pendekatan inkuiri, murid terlibat secara aktif dan bagi sesetengah pembelajaran murid tidak perlu berinteraksi dan berkomunikasi dan hanya menjalankan pembelajaran untuk mencapai objektif. Melalui pendekatan ini, potensi dan kelebihan murid dapat diperkembangkan secara optima di samping mereka tidak perlu takut dan risau jika berbuat salah dalam pembelajaran kerana guru akan membimbing jika terdapat kesalahan.

 

Comments

Popular posts from this blog

CIRI SEORANG KAUNSELOR YANG EFEKTIF (Characteristics of an Effective Counsellor)

  Kaunselor memainkan peranan penting dalam kaunseling. Berikut merupakan huraian lima ciri seorang kaunselor yang efektif.             Seorang kaunselor harus mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang kaunseling. Kaunselor yang tidak pakar dalam bidangnya sendiri akan memberikan impak negatif kepada sesi kaunseling dan kliennya. Maka, dalam mendapatkan pengetahuan yang luas, seorang kaunselor seharusnya telah menamatkan pembelajaran formal dalam ijazah yang berkaitan kaunseling daripada mana-mana institusi pendidikan tinggi dalam negara. selain itu, pembelajaran sepanjang hayat perlu diamalkan agar pengetahuan yang dimiliki seiring dengan peredaran zaman.             Selain itu, seorang kaunselor perlu mempunyai kemahiran yang tinggi dalam kaunseling. Pengetahuan sahaja tidak cukup untuk menjadikan seorang kaunselor efektif dalam bidangnya. Ketika pembelajaran...

REVISI TAKSONOMI BLOOM & TAKSONOMI BLOOM (Revised Bloom's Taxonomy & Bloom’s Taxonomy

  Pada tahun 1956, Benjamin Bloom mengetuai sekumpulan ahli psikologi pendidikan untuk mengembangkan klasifikasi tahap tingkah laku intelektual yang penting untuk pembelajaran. Bloom telah mengklasifikasikan aras tingkah laku keintelektualan dalam pembelajaran kepada tiga domain iaitu domain kognitif, domain afektif, dan  domain psikomotor. Domain kognitif bertujuan untuk mengembangkan kemahiran mental dan pemerolehan pengetahuan individu.   Finn, A. S., Kraft, M. A., West, M. R., Leonard, J. A., Bish, C. E., Martin, R. E., Sheridan, M. A., Gabrieli, C. F., & Gabrieli, J. D. (2014),  kemahiran kognitif meramalkan prestasi akademik, jadi sekolah yang meningkatkan prestasi akademik juga dapat meningkatkan kemahiran kognitif. Walaupun sebilangan besar orang menganggap pembelajaran sebagai fungsi intelektual, namun, pembelajaran bukan sekadar fungsi kognitif (intelektual) kerana manusia juga dapat mempelajari sikap, tingkah laku, dan kemahiran fizikal. Domain af...

ISU PENDIDIKAN DI JEPUN (Issues of Education in Japan)

  Dua isu utama pendidikan yang membimbangkan para pendidik di negara Jepun dapat dilihat melalui isu peraturan ketat bagi pematuhan disiplin dan tekanan yang dialami disebabkan persaingan sengit yang berlebihan.             Bagi memastikan disiplin pelajar terjamin, peraturan disiplin di Jepun adalah sangat ketat.  Di peringkat menengah misalnya, terdapat pengawasan daripada pihak berkenaan bagi memastikan bahawa semua pelajar akan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Antara peraturan yang mesti dipatuhi termasuklah kod etika berpakaian, aktiviti yang dijalankan di luar sekolah dan gaya rambut. Namun, dalam konteks negara Malaysia, perkara sebegini adalah sangat normal kerana kementerian pendidikan turut menggariskan beberapa peraturan yang wajib dipatuhi selagi bergelar seorang murid ataupun pelajar. Peraturan-peraturan ini hendaklah dipatuhi dan terdapat beberapa jenis hukuman yang boleh dilaksanakan mengikut garis panduan yang b...