Lima ciri kurikulum essentialist adalah:
1. Disiplin diperlukan untuk pembelajaran sistematik di sekolah.
Pelajar bukan sahaja menuntut ilmu di sekolah tapi, belajar menghormati peraturan sekolah dan masyarakat. Dalam pendidikan di Malaysia, elemen disiplin merupakan elemen yang penting yang mana setiap institusi pendidikan terutamanya sekolah-sekolah sangat mementingkan disiplin pelajar sebagai satu cara memastikan kemenjadian murid adalah seimbang dalam semua aspek. Di sekolah-sekolah terdapat peraturan yang perlu dipatuhi dan peraturan-peraturan tersebut kebiasaannya dibukukan di dalam buku disiplin dan peraturan. Maka, kesemua pelajar adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan tersebut.
2. Guru perlu berpengetahuan dan berpendidikan tinggi.
Guru perlu tahu dan pakar dalam isi kandungan yang diajarkan serta dapat menyampaikan pengetahuan mereka kepada pelajar dengan baik. Di institusi pendidikan Malaysia terutamanya sekolah-sekolah, setiap guru mempunyai kepakaran masing-masing dalam sesuatu bidang. Maka, seharusnya setiap guru itu adalah pakar dengan bidang masing-masing dan menjadi rujukan kepada rakan guru dan para pelajar di sekolah. Dalam memartabatkan profesion keguruan dan memastikan para guru mendapatkan pendidikan tertinggi, pihak kerajaan Malaysia telah menganjurkan Program Pensiswazahan Guru yang mana melalui program ini.
3. Pengajaran berpusatkan guru digunakan sebagai satu kaedah pengajaran dan guru memutuskan apa yang paling penting bagi pelajar untuk belajar dengan sedikit penekanan terhadap minat pelajar kerana akan mengalihkan masa dan perhatian daripada mempelajari mata pelajaran akademik. Guru essentialist sangat menumpukan pada skor ujian pencapaian sebagai kaedah menilai kemajuan. Perkara ini dilihat seperti sistem pendidikan Malaysia beberapa tahun dahulu yang lebih menekankan sistem peperiksaan dan akademik berbanding minat pelajar. Namun kini, bukan sahaja pendekatan pengajaran berpusatkan guru yang diaplikasikan bahkan para guru digalakkan untuk mempelbagaikan kaedah, strategi dan pendekatan pengajaran mereka. Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) dilihat merupakan satu dasar yang diwujudkan oleh kerajaan dalam memperkasakan sistem pendidikan di Malaysia. Melalui dasar tersebut, beberapa kaedah, strategi dan pendekatan telah diperkenalkan secara meluas selain pendekatan berpusatkan guru.
4. Kurikulum Essentialist adalah akademik yang ketat, untuk pelajar yang lambat dan bagus. Mata pelajaran yang diberikan adalah untuk semua pelajar tanpa mengira kebolehan dan minat. Selain itu, berapa banyak yang perlu dipelajari disesuaikan mengikut kemampuan pelajar. Ciri ini boleh dikaitkan dengan sistem pendidikan Malaysia masa kini. Setiap pelajar akan mempelajari mata pelajaran yang wajib. Namun, para guru kini terutamanya guru sekolah rendah akan memfokuskan kepada pelajar yang lemah dan bukan hanya memfokuskan pelajar yang berprestasi bagus.
5. Hari sekolah yang lebih panjang, tahun akademik yang lebih panjang dan buku teks yang lebih mencabar. Ahli essentialist berpendapat bahawa bilik darjah harus berorientasi pada guru, yang berfungsi sebagai model peranan intelektual dan moral kepada pelajar. Terdapat penjajaran masa yang baharu di sekolah rendah kini selaras dengan dasar KSSR Semakan 2017 bagi memastikan bahawa murid tidak terbeban dengan waktu belajar yang panjang. Selain itu, pendidikan masa kini tidak lagi berorientasikan guru dan mula menggunakan pendekatan berpusatkan murid dan berpusatkan bahan bantu mengajar. Ianya merupakan salah satu transformasi pendidikan yang telah mula dijalankan di peringkat sekolah-sekolah di Malaysia.
Comments
Post a Comment